Ditulis oleh Have Halal Will Travel
Ramai yang bimbang sekiranya sukar untuk mendapatkan makanan tempatan yang halal di Hong Kong, sehingga ada yang berfikir untuk membawa bekalan mi segera bersama mereka. Namun, sebenarnya tidak perlu berbuat begitu. Anda pasti gembira mengetahui Hong Kong sebenarnya penuh dengan makanan halal yang lazat (termasuk makanan tempatan asli), dengan kebanyakannya boleh didapati berhampiran tempat tarikan utama! Ini hanyalah beberapa tempat kegemaran kami di kawasan yang berbeza.
Saksikan pemandangan kaki langit Hong Kong yang mempesona di Pelabuhan Victoria. Selepas menikmati makan malam lazat di kedai-kedai berdekatan, telusuri jalan tepian air untuk menyaksikan ‘A Symphony of Lights’ — pertunjukan multimedia lampu cantik dan muzik yang diiktiraf sebagai salah satu pertunjukan yang paling menakjubkan di dunia! Jika anda ingin melihat Hong Kong dari perspektif yang berbeza, pastikan anda mencuba Hong Kong Observation Wheel
{{title}} Address {{address}} Website {{website}} More info .
Kiosk pencuci mulut Happy Cow yang menyajikan 'milkshake' dan aiskrim vegan terletak betul-betul di sebelah Observation Wheel. Pilih daripada pelbagai jenis perisa — daripada Bijan Ying Yang (rasa tempatan yang istimewa) hingga Pina Colada (tanpa alkohol).
Nikmati aiskrim anda di laman di hadapan kedai, sambil anda menikmati pemandangan indah Hong Kong di sekeliling anda — cara terbaik untuk berehat dan bersantai.
Alamat: Booth 3, Man Kwong Street, Hong Kong Observation Wheel, Central, Hong Kong Island.
Daerah beli-belah utama Hong Kong bukan sahaja terdiri daripada jenama antarabangsa yang popular tetapi juga banyak tempat makanan halal, agar perut anda senang hati semasa membeli-belah.
Perjalanan kaki 7 minit dari Stesen Causeway Bay, terletak gerai itik panggang halal yang terkenal. Wai Kee mungkin bukan satu-satunya gerai untuk anda mendapatkan itik panggang halal, tetapi gerai ini cukup terkenal sebagai salah satu gerai terbaik di Hong Kong.
Dan anda akan faham sebabnya sebaik sahaja anda menjamah daging itik yang lembut. Keenakan rasa yang digandingkan dengan kulit rangup perang keemasan sukar untuk digambarkan. Tetapi jangan datang ke sini hanya untuk nasi itik! Mi wonton, nasi ayam soya dan nasi kari daging kambing istimewa adalah kegemaran yang enak juga.
Status halal: Milik Muslim
Alamat: Shop 5, Bowrington Road Cooked Food Centre, 1/F, Bowrington Road Market, 21 Bowrington Road, Wan Chai, Hong Kong Island
Kantin Pusat Islam terletak hanya 10 minit berjalan kaki dari Stesen MTR Causeway Bay dan agak mudah dicari kerana ia terletak di dalam masjid.
Pilih daripada pelbagai dim sum kukus dan dim sum goreng. Pilihan utama kami untuk dim sum kukus ialah siu mai yang dibuat dengan ayam yang lembut dan berjus, serta har gow (ladu udang kukus). Untuk dim sum goreng, kami amat mengesyorkan wonton udang goreng.
Jika anda datang ke sini hanya untuk dim sum, jangan lupa datang sebelum jam 3 petang, kerana menu dim sum sudah habis selepas waktu itu!
Jika anda berada di Causeway Bay hampir dengan waktu makan malam, cubalah menu makan malam Kantin Pusat Islam. Untuk tempat yang terkenal dengan dim sum, kami rasa anda akan terkejut melihat betapa sedapnya hidangan utama Kantonis mereka.
Status Halal: diperakui halal
Alamat: Tingkat 5, Osman Ramju Sadick, 40 Jalan Oi Kwan, Wan Chai, Hong Kong Island
Untuk makanan asli India, Aladin Mess adalah tempatnya. Ia terletak betul-betul di sebelah Times Square dan merupakan tempat yang selesa di tengah-tengah kesibukan Causeway Bay. Pastikan anda mencuba naan bawang putih bersama masala brisket. Naan yang lembut dan lazat sangat sesuai dipadankan dengan kepedasan masala!
Jika anda lebih suka makanan laut, cubalah masala kerang dan kurma ikan mereka.
Status Halal: diperakui halal
Alamat: 2/F, 60 Russell Street, Causeway Bay, Hong Kong Island
Ini mungkin taman tema tertua di Hong Kong tetapi usianya hanya membuktikan kehebatannya! Terdapat begitu banyak aktiviti yang boleh anda lakukan serta saksikan sehingga anda perlu menghabiskan sekurang-kurangnya sehari penuh di sini. Dan kami tahu apa yang anda perlukan untuk kekal bertenaga - makanan!
Terletak di Waterfront, kafe ini adalah kiosk bawa pulang yang menawarkan pelbagai jenis makanan! Pilih pelbagai makanan mereka atau, jika anda lebih suka makanan yang lebih ringan, pilih salah satu kudapan seperti bau (roti ban) dan sosej. Walaupun makanan ini dibawa pulang, anda boleh duduk dan menikmati hidangan anda di kafeteria bersebelahan (diperakui tidak halal).
Nasi ayam Hainan dan nasi kukus bebola daging menjadi hidangan tengah hari yang hebat. Saiz hidangan besar dan pasti akan mengenyangkan anda sepanjang hari.️ Untuk pilihan yang lebih sihat, pilihlah mangkuk salad mereka.
Status halal: disahkan halal
Jika anda sudah tertanya-tanya cara untuk memuatkan semua kelazatan ini ke dalam jadual anda, tunggu sehingga anda melihat senarai penuh kedai makanan halal yang diperakui di Hong Kong. Anda mungkin perlu datang lagi!
Kandungan disediakan oleh Have Halal Will Travel. Maklumat dalam artikel ini tertakluk kepada perubahan tanpa notis awal. Sila hubungi pembekal produk atau perkhidmatan yang berkaitan untuk sebarang pertanyaan.
Lembaga Pelancongan Hong Kong menafikan sebarang liabiliti terhadap kualiti atau kesesuaian untuk tujuan produk dan perkhidmatan pihak ketiga; dan tidak menjadi wakil atau menjamin ketepatan, kecukupan atau kebolehpercayaan sebarang maklumat yang terkandung di sini.