Sudah tiba masanya untuk anda bercuti bersama keluarga, dan Hong Kong adalah pilihan pilihan yang tepat! Dengan kemudahan mesra keluarga di seluruh bandar, nantikan perjalanan yang lancar — walaupun dengan kanak-kanak. Dan anda tidak lagi perlu menghabiskan masa merancang perjalanan anda, kami menyediakan pakej empat hari tiga malam yang ideal di Hong Kong.
Dengan lapangan terbang yang mempunyai sambungan penerbangan yang luas, salah satu cara terbaik untuk ke Hong Kong ialah dengan penerbangan terus. Cuba dapatkan penerbangan yang tiba di Hong Kong menjelang tengah hari supaya anda mempunyai masa untuk menerokai bandar ini sepanjang hari. Sebaik sahaja anda mendarat, pergi ke salah satu dari Ruang Ibadah Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong untuk menunaikan solat. Terdapat ruang wuduk di dalam bilik ini dan sejadah juga disediakan, tetapi sila bawa kelengkapan solat anda yang lain.
Kami tahu anda sukar untuk membawa bagasi anda sambil menjaga anak-anak anda, jadi kami mengesyorkan supaya anda pergi ke tempat penginapan anda terlebih dahulu untuk meletakkan bagasi dan menyegarkan badan. Naiki kereta api Airport Express untuk sampai ke bandar dalam masa kurang daripada 24 minit. Tempat duduk di gerabak pertama dan terakhir kereta api ini dilengkapi dengan port USB dan terdapat juga Wi-Fi percuma.
Jimatkan masa anda dengan mendapatkan tiket Airport Express dalam talian lebih awal. Anda cuma perlu imbas kod QR untuk keluar dari pintu Airport Express apabila anda tiba di bandar.
Turun di stesen Kowloon atau Hong Kong (bergantung pada tempat penginapan anda) dan gunakan salah satu pilihan pengangkutan yang tersedia untuk membawa anda ke hotel anda.
Dapatkan kad Octopus untuk bergerak menggunakan pengangkutan awam (sambil menjimatkan wang). Dan jika anda perlu menaiki teksi, sediakan alamat destinasi anda dalam bahasa Cina kerana tidak semua pemandu boleh bertutur atau memahami bahasa Inggeris — minta hotel anda atau gunakan aplikasi terjemahan atau peta.
Masa untuk mula meneroka bandar! Dan permulaan yang baik adalah dengan mengunjungi pusat membeli-belah terbesar di Hong Kong. Harbour City dipenuhi dengan jenama tempatan dan antarabangsa, jadi banyak pilihan menanti anda.
Anak-anak anda pasti akan menyukai pelbagai jenis mainan di Toys”R”Us di Harbour City kerana ia cawangan terbesar di Asia! Untuk menggayakan anak-anak anda dengan fesyen terkini, pergi ke tingkat bawah. Ya, pusat membeli-belah ini mempunyai seluruh tingkat yang dikhaskan untuk fesyen kanak-kanak, daripada jenama mewah seperti GUCCI Kids dan BAPE Kids kepada jenama pertengahan seperti Mothercare, anda tidak mungkin dapat meninggalkan pusat beli-belah ini dengan tangan kosong!
Pusat membeli-belah ini juga mempunyai pameran bermusim interaktif yang akan memastikan anak-anak anda kekal terhibur semasa anda membeli-belah. Pameran berubah setiap dua bulan, jadi anda akan sentiasa mempunyai sesuatu yang baharu untuk dinantikan!
Jika anda perlu menukar lampin atau menyusu anak anda, terdapat bilik penjagaan bayi yang luas di sebelah Toys”R”Us! Ruang persalinan adalah terbuka, tetapi terdapat juga bilik penjagaan bayi peribadi.
Selepas makan tengah hari, berehat sebentar di Ocean Terminal Deck Harbour City sebelum meneruskan hari anda! Dek ini terletak di atas bumbung pusat membeli-belah dan menawarkan pemandangan Victoria Harbour dan latar langit Hong Kong yang memukau. Duduk di anjung astaka dan luangkan masa bersendirian dengan pasangan anda, sambil anak-anak anda bermain di lamannya yang semula jadi. Masa kunjungan yang terbaik ialah semasa matahari terbenam, jadi anda boleh melihat pemandangan yang menakjubkan dengan latar langit yang indah.
Singgah ke masjid terbesar di Hong Kong untuk menunaikan solat dengan rasa aman dan tenang! Kemasan marmar putih yang cantik di Masjid Kowloon pasti akan membuatkan anda berasa kagum. Ini juga merupakan peluang terbaik untuk membawa anak-anak anda dan menunjukkan kepada mereka kepelbagaian budaya dalam agama Islam itu sendiri!
Jangan lepaskan peluang anda untuk menaiki salah satu kapal layar merah Cina yang terakhir di Hong Kong! Aqua Luna adalah salah satu cara terbaik untuk merasai kegemilangan Victoria Harbour sepenuhnya. Bersantai di kerusi yang selesa sambil menikmati minuman percuma anda. Memandangkan hujung kapal agak rendah, kami mengesyorkan agar anda duduk di bahagian tengah, terutamanya jika anda mempunyai anak-anak kecil!
Pastikan anda bersarapan pagi sebelum bersedia untuk hari yang penuh keseronokan di taman tema tertua dan kedua terbesar di Hong Kong. Ocean Park menawarkan pelbagai tarikan, daripada taman laut kepada taman tema dan zon budaya yang sesuai untuk hantaran Instagram anda. Sesuai untuk kanak-kanak dari semua peringkat umur! Terdapat banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini, jadi kami mengesyorkan agar anda meluangkan sebahagian besar hari anda di sini.
Taman ini sangat besar dan terbahagi kepada dua bahagian - The Waterfront dan The Summit. Anda boleh menaiki kereta kabel atau kereta api untuk mengelilingi taman ini, tetapi kami mengesyorkan agar anda menaiki kereta kabel sekiranya anak-anak anda bersedia! Anda bukan sahaja dapat menikmati pemandangan taman dengan pandangan dari atas, anda juga akan hanyut dalam pemandangan laut yang indah di sekeliling taman.
Jika anda mempunyai kereta sorong bayi, ambil laluan landai (tanpa tangga) untuk pergi ke kereta kabel. Anda boleh melipat kereta sorong bayi dan memasukkannya ke dalam kabin!
Sebelum menuju ke The Summit, temui haiwan-haiwan comel di Ocean Park! Ying Ying dan Le Le, dua ekor Panda Gergasi bersedia untuk mencairkan hati anda dengan gelagat mereka yang comel. Mereka paling aktif pada waktu pagi (sekitar jam 10 pagi), jadi kami mengesyorkan agar anda melawat haiwan ini sebaik sahaja anda memasuki taman ini. Anak-anak anda boleh berinteraksi dengan lebih dekat bersama haiwan yang comel ini! Seluruh keluarga anda boleh ‘bertemu panda gergasi’, belajar cara menyediakan makanan istimewa panda, dan juga memberikan makan kepada haiwan ini.
Terdapat banyak tunggangan ria mesra keluarga di taman The Waterfront dan The Summit. Whiskers Harbour, di The Waterfront, ialah tempat yang sesuai untuk kanak-kanak yang lebih muda! Terdapat rumah ambul (Bouncer House), roda Ferris (Balloons Up-Up-And-Away) dan juga tunggangan ria mini yang mendebarkan seperti Frog Hopper, jika anak-anak anda lebih berani. Kanak-kanak yang lebih besar pasti akan sangat menyukai Whirly Bird dan Arctic Blast di The Summit! Tunggangan ria ini tidak terlalu menakutkan, cukup untuk memberi mereka kejutan yang mendebarkan.
Adakah anak-anak remaja anda mencari tunggangan ria yang akan membuatkan jantung mereka berdebar-debar? Dengan The Flash, anda akan diayun 22 meter dan 360 darjah penuh dari atas tanah! Teruskan pengembaraan mendebarkan anda di Hair Raiser — tunggangan ria roller coaster terpantas di Hong Kong akan membuatkan seluruh keluarga anda menggeletar.
Ya, terdapat makanan yang disahkan halal di taman ini. Panda Café menawarkan makanan ringan seperti roti kukus kari (mesti cuba!) atau roti sosej, serta hidangan lengkap seperti nasi ayam Hainan dan nasi kukus dengan bebola daging lembu.
Kemudahan mesra keluarga tersedia secara meluas di taman ini. Terdapat beberapa bilik penyusuan di The Waterfront dan The Summit. Selain itu, terdapat juga tandas kongsi untuk anda dan anak-anak anda! Untuk memudahkan keluarga anda mengelilingi taman ini, gunakan lif berbanding eskalator.
Anda cuma perlu pergi ke kaunter Perhubungan Pelanggan (sama ada di The Waterfront atau The Summit), dan maklumkan staf bahawa anda ingin menggunakan bilik untuk solat.
Anak-anak anda mungkin keletihan selepas berseronok di Ocean Park, tetapi sentiasa ada ruang (dan tenaga!) untuk membeli-belah. Singgah ke Ladies’ Market untuk mendapatkan cenderahati yang murah dan menarik sebagai hadiah untuk keluarga dan rakan-rakan anda. Anak-anak anda juga akan menyukai mainan dan boneka yang comel yang tersedia di sini.
Sebagai alternatif, anda juga boleh pergi ke Sham Shui Po untuk membeli-belah! Kawasan kejiranan ini terkenal dengan kain fabrik, alat elektronik dan mainan jalanan. Pertama sekali, singgah ke Jalan Fuk Wing (Jalan Mainan)! Anak-anak anda pasti akan menyukai pelbagai jenis mainan yang terdapat di sini.
Pastikan anda meninjau pelbagai jenis kain fabrik jenis borong di Jalan Yu Chau juga! Kain fabrik yang dijual adalah murah dan berkualiti — sesuai untuk keluarga anda memilih pakaian Hari Raya yang sedondon.
Jangan lupa tawar-menawar untuk mendapatkan harga terendah! Atau gunakan teknik berpura-pura meninggalkan kedai dan cuba kedai lain.
Anda boleh memilih untuk bersarapan di hotel, atau pergi ke Islamic Centre Canteen (Kantin Pusat Islam) untuk menikmati dim sum yang lazat. Kantin ini wajib dikunjungi oleh pelancong Muslim! Jamu selera anda dengan siu mai ayam terbaik dan wantan udang yang rangup. Pastikan anda tiba sebelum jam 3 petang, kerana menu dim sum tidak tersedia selepas waktu ini.
Naiki MTR ke Disneyland (Stesen Disneyland Resort) — kereta api berhenti betul-betul di luar taman ini! Jika boleh, kami mengesyorkan agar anda tiba kira-kira setengah jam sebelum waktu pembukaan rasminya kerana mungkin terdapat barisan beratur yang panjang sebelum taman dibuka.
Mulakan pengembaraan anda dengan beberapa tunggangan ria mesra keluarga yang lebih popular di taman ini. Winnie the Pooh dan Iron Man Experience akan memikat hati kanak-kanak dari semua peringkat umur. Mad Hatter Tea Cups ialah satu lagi tunggangan ria yang sesuai untuk berseronok bersama seisi keluarga kerana anda akan dapat memutar cawan teh anda sepuas hati anda.
Jimatkan masa anda dengan tiket Disneyland Premier Pass (tersedia untuk beberapa tunggangan ria termasuk Hyperspace Mountain, Winnie the Pooh dan Iron Man Experience). Anda cuma perlu pergi ke mesin tiket di tunggangan ria ini untuk mendapatkan tiket percuma anda dan kembali pada slot masa yang diperuntukkan.
Hyperspace Mountain mungkin merupakan salah satu tunggangan ria mendebarkan yang paling dicari di taman ini, tetapi ada juga tunggangan ria lain yang patut mendapat perhatian anda. Jangan ketinggalan untuk bermain RC Racer dan Big Grizzly Mountain Runaway Mine Cars — tunggangan ria yang mesti dicuba jika anda dan anak-anak anda yang lebih besar inginkan lebih keterujaan!
Membawa anak-anak anda ke Disneyland tanpa mendekati dan beramah mesra dengan watak Disney kegemaran mereka adalah satu kerugian! Barisan beratur untuk sesi ramah mesra boleh menjadi sangat panjang, jadi kami mengesyorkan anda untuk memilih beberapa watak yang popular dalam senarai anda untuk bertemu.
Semasa meneroka taman ini, pastikan anda mencari pekerja khas Disney! Daripada kakitangan kedai sehinggalah kepada kakitangan penjaga taman, setiap seorang daripada mereka mempunyai pelekat Disney comel yang boleh diminta supaya anak-anak anda dapat membina koleksi pelekat bertemakan watak Disney mereka sendiri. Anda cuma perlu bertanya pada para pekerja khas ini!
Selain daripada perarakan kereta terapung yang cantik, anda juga perlu menyertakan Festival Lion King dalam jadual perjalanan anda! Saksikan watak kegemaran anda seperti Simba, Timon, dan Pumbaa dibawakan ke kehidupan nyata di atas kereta terapung yang gergasi, diapit oleh persembahan akrobatik dan penari api. Nyanyi bersama keluarga anda lagu-lagu Lion King yang ikonik seperti The Circle of Life dan Hakuna Matata.
Semua keseronokan dan permainan tadi pasti membuatkan perut anda lapar. Pergi ke Restoran Tahitian Terrace untuk menikmati pelbagai jenis masakan daripada makanan Korea dan Jepun sehinggalah Indonesia! Salah satu perkara yang paling kami gemari tentang Disneyland Hong Kong ialah ia satu-satunya Disneyland di dunia yang menyediakan makanan diperakui halal.
Ruang solat Disneyland terletak di sebelah restoran ini sahaja! Ruang solat dilengkapi dengan kemudahan wuduk yang terbaik tetapi sila bawa sejadah dan kelengkapan solat anda sendiri, kerana ia tidak disediakan.
Teruskan pengalaman Disney anda dengan menginap di Hong Kong Disneyland Hotel, terletak betul-betul di sebelah taman ini! Bilik bertemakan Disney di hotel ini (lengkap dengan cenderahati Disney!) pasti akan membuaikan keluarga anda dengan mimpi yang paling indah.
Hotel ini menawarkan makanan yang diperakui halal atas permintaan (sila hubungi pihak hotel sebelum ketibaan anda) di Walt's Café dan perkhidmatan bilik.
Tamatkan percutian anda di puncak di Ngong Ping 360. Anda boleh memilih untuk mengambil sama ada kabin standard atau kabin kristal ke puncak, tetapi kami mengesyorkan yang kedua kerana ciri bahagian bawah kaca kabin pasti akan mengujakan anak-anak anda. Mereka akan teruja melihat pemandangan alam semula jadi yang indah melalui kaca - lebih-lebih lagi jika ia betul-betul di bawah kaki mereka.
Sebaik sahaja anda sampai ke puncak, berjalan kaki melalui perkampungan yang menarik dan mendaki 268 anak tangga (jangan risau, golongan muda dan tua telah berjaya mengharunginya) untuk sampai ke mercu tanda paling ikonik di Lantau. Tian Tan Buddha ialah salah satu patung Buddha gangsa dalam posisi duduk yang terbesar di dunia! Luangkan sedikit masa untuk meneroka kampung ini dan anda akan menemukan Biara Po Lin, yang diasaskan oleh tiga orang biarawati pada tahun 1918.
Walaupun anda berada di puncak gunung, tetapi masih terdapat restoran yang diperakui halal di Kampung Ngong Ping. Nikmati makanan Mediterranean di Ebeneezer's, sambil menikmati pemandangan dan seni bina yang indah di sekeliling anda.
Terdapat bilik penjagaan bayi berhampiran restoran ini, jika si kecil anda perlu ditukar lampin atau diberi susu.
Anda pasti gembira mengetahui bahawa lokasi lapangan terbang ini sangat dekat dengan Ngong Ping 360. Ia cuma mengambil masa 15 minit perjalanan dengan bas dari Stesen Tung Chung di Ngong Ping. Anda cuma perlu cari terminal bas bersebelahan dengan stesen dan menaiki bas S1.
Ngong Ping 360 menawarkan ruang simpanan bagasi, memudahkan anda untuk meluangkan hari anda di sini selepas mendaftar keluar dari hotel anda.
Percutian selama empat hari tiga malam anda di Hong Kong pastinya lebih menyeronokkan sekarang! Dengan jadual perjalanan ini, anda tidak perlu lagi risau tentang semua perancangan yang perlu anda lakukan sebelum perjalanan anda. Ia pasti akan menjadi percutian yang tidak dapat dilupakan oleh seisi keluarga anda!
Kandungan disediakan oleh Have Halal Will Travel. Maklumat dalam artikel ini tertakluk kepada perubahan tanpa notis awal. Sila hubungi pembekal produk atau perkhidmatan yang berkaitan untuk sebarang pertanyaan.
Lembaga Pelancongan Hong Kong menafikan sebarang liabiliti terhadap kualiti atau kesesuaian untuk tujuan produk dan perkhidmatan pihak ketiga; dan tidak menjadi wakil atau menjamin ketepatan, kecukupan atau kebolehpercayaan sebarang maklumat yang terkandung di sini.