Dengan pelbagai pilihan makanan halal di Hong Kong, mencari makanan halal untuk pelancong Muslim adalah lebih mudah.
Daripada dim sum yang lazat kepada itik panggang yang rangup, terdapat banyak restoran halal di Hong Kong yang anda perlu kunjungi. Mungkin anda suka menikmati hidangan gaya Kantonis, namun kadang kala anda mahukan sesuatu yang lain untuk mengubah selera.
Anda boleh meneroka pelbagai restoran vegetarian mesra Muslim di Hong Kong! Sama ada anda mengidam pencuci mulut mangga atau Impossible Burger, anda tidak akan kelaparan di bandar yang sibuk ini. Jika anda merancang percutian pertama anda, sila lihat panduan pelancong kali pertama ke Hong Kong yang mesti diketahui oleh setiap pelancong Muslim sebelum memulakan perjalanan anda!
Selepas anda menaiki Hong Kong Observation Wheel yang berdekatan, pastikan anda mengisi perut anda dengan aiskrim bebas tenusu di Happy Cow. Manjakan diri anda di kedai berwarna biru cerah ini dengan pilihan vegan daripada aiskrim fudge badam ceri kepada aiskrim dengan pusaran karamel masin. Terdapat perisa khas mingguan yang mungkin mengejutkan anda, seperti perisa halia mungkin menambat hati anda!
Apa yang menarik tentang Happy Cow ialah aiskrim mereka bebas kolesterol dan kurang gula. Sama ada ini hari cuti diet anda atau tidak; aiskrim yang disajikan adalah jenis pencuci mulut yang tidak akan membuatkan anda rasa 'bersalah' tentang pengambilan kalori anda. Selain kedai mereka di Hong Kong Observation Wheel, anda juga boleh mencuba lokasi Happy Cow lain di sekitar Hong Kong.
Alamat: Central Wheel Shop, Kedai No. 3, Jalan Man Kwong, Hong Kong Observation Wheel, Pulau Hong Kong
Nombor telefon: +852 2252 7773
Arah Lokasi: turun di Stesen MTR Hong Kong dan berjalan menuju ke susur keluar di Jalan Man Yiu. Kemudian, berjalan kaki lebih kurang 5 minit untuk sampai ke Happy Cow.
Veggie One ialah restoran Hong Kong yang menyajikan bufet vegetarian yang menyelerakan. Jika anda seorang penggemar makanan sejati, pilihan vegetarian di sini yang pelbagai tidak akan mengecewakan anda. Cari mana-mana meja serba putih yang kosong dan selesakan diri anda di antara lampu metalik yang tergantung dan mural bunga dengan perincian halus.
Di Veggie One, patuhi peraturan bufet seperti biasa. Jangan malu-malu! Ambil pinggan anda dan nikmati pelbagai pilihan yang lazat termasuk piza vegetarian, bebola kentang, kek labu dan mi goreng. Tawaran utama bufet di sini adalah sushi vegetarian, dan anda pasti akan terkejut dengan perisanya yang hampir sama dengan sushi yang sebenar.
Status halal: restoran ini menyajikan menu vegetarian dan tidak menghidangkan daging atau menggunakan alkohol dalam penyediaan makanan mereka.
Alamat: Shop L2–116, 2/F, V Walk, 28 Sham Mong Road, Sham Shui Po, Kowloon
Nombor telefon: +852 2328 2102
Membawakan rasa India Selatan ke Hong Kong, Restoran Vegetarian Sangeetha ialah sebuah restoran sederhana yang akan menambat cita rasa anda dengan kari dan rempah eksotik. Mulakan dengan pembuka selera seperti roti prata cili, kubis bunga cendawan dan samosa.
Status halal: restoran ini menyajikan menu vegetarian dan tidak menghidangkan daging atau menggunakan alkohol dalam penyediaan makanan mereka.
Alamat: UG 1–5 & 31, Wing On Plaza, 62 Mody Road, East Tsim Sha Tsui, Kowloon
Nombor telefon: +852 2640 2123 / 2643 9123
Arah Lokasi: Turun di Stesen MTR Tsim Sha Tsui dan berjalan menuju ke Pintu Keluar P2. Kemudian, berjalan kaki selama 1 minit untuk sampai ke Restoran Vegetarian Sangeetha.
Sebuah restoran menawan yang dipenuhi dengan perabot kayu dan rak bercahaya, 2DP menyajikan makanan vegetarian dengan menu yang menawarkan pelbagai pilihan untuk mengisi perut selepas meneroka lokasi sesi foto Instagram ini di Hong Kong.
Siap sedia untuk menikmati hidangan lazat di sini - daripada tartar salmon avokado dengan kaviar vegan sehinggalah roti bakar mangga avokado dengan yogurt. Hidangan lain yang menarik termasuk set sarapan sepanjang hari dan risoto barli berkrim dengan kuning telur masin. Jika itu masih belum menarik perhatian anda, terdapat juga Impossible Burger yang sememangnya lazat.
Status halal: restoran ini menyajikan menu vegetarian dan tidak menghidangkan daging atau menggunakan alkohol dalam penyediaan makanan mereka. Walaupun‘daging khinzir’ dinyatakan dalam menu, sila ambil perhatian bahawa restoran ini vegan sepenuhnya.
Alamat: G/F, The Lamma Tower, 12–12A Hau Fook Street, Tsim Sha Tsui, Kowloon
Nombor telefon: +852 3705 9590
Arah Lokasi: Turun di Stesen MTR Tsim Sha Tsui dan berjalan menuju ke Pintu Keluar B2. Kemudian berjalan kaki selama 3 minit untuk sampai ke 2DP.
Di tengah-tengah kesibukan Pasar Lama Wan Chai, pastikan anda mencari restoran vegetarian bernama OVOCAFE ini. Sesuai untuk pelancong Muslim yang mencari pilihan makanan vegetarian, kafe ini menyediakan pelbagai jenis salad, sup, hidangan utama dan sarapan sepanjang hari untuk mengisi perut anda.
Mulakan hidangan anda dengan salad hijau OVO klasik sebelum menjamu selera dengan piza margherita klasik, mi tom yam atau pai keju bayam dengan cendawan portobello. Jika anda masih belum mencuba Impossible Burger di restoran vegetarian lain, versi OVOCAFE didatangkan dengan hidangan sampingan kerepek nachos dengan krim masam.
Status halal: restoran ini menyajikan menu vegetarian dan tidak menghidangkan daging. Sila ambil perhatian bahawa minuman beralkohol ada dihidangkan di premis ini.
Alamat: OVO Flagship Store, 1 Wan Chai Road, Wan Chai, Hong Kong Island
Nombor telefon: +852 2527 6011
Arah Lokasi: Turun di stesen MTR Wan Chai dan jalan menuju ke Pintu Keluar A3. Kemudian, berjalan kaki lebih kurang 5 minit untuk sampai ke OVOCAFE.
Selepas menghabiskan waktu petang di Blue House, isi perut anda di restoran vegetarian Cina di Local Ginger Veggie Bistro. Pelbagai pilihan hidangan vegetarian pasti akan menambat selera anda.
Daripada sup mi wantan sayuran kepada mi kering dengan halia dan daun bawang, serta kek pulut goreng Shanghai, anda pasti akan menikmati hidangan yang disajikan. Memandangkan bistro ini juga terkenal dengan persembahan makanannya yang penuh estetik, jangan lupa sesi fotografi untuk Instagram anda juga.
Status halal: walaupun restoran ini tidak disahkan halal, mereka menyajikan menu vegetarian. Menu mereka mungkin menyatakan 'daging', tetapi mereka menggunakan daging tiruan yang diperbuat sepenuhnya daripada sumber sayur-sayuran.
Alamat: 8 King Sing Street, Wan Chai, Hong Kong Island
Nombor telefon: +852 2833 4601
Arah Lokasi: Turun di stesen MTR Wan Chai dan jalan menuju Pintu Keluar A2. Kemudian berjalan kaki selama kira-kira 10 minit ke Local Ginger Veggie Bistro.
Setelah anda menerokai tempat menarik di Tai Kwun, bersedia untuk dihidangkan dengan dim sum vegetarian bersaiz kecil di LockCha Tea House.
Bersama-sama dengan secawan teh Cina, anda boleh mencuba roti kacang merah, popia vegetarian, kek keladi dan ladu pulut gajus kelapa untuk menikmati hidangan Hong Kong yang lazat. Jangan lupa mi vegan dan kek halia juga!
Status halal: walaupun restoran ini tidak disahkan halal, mereka menyajikan menu dim sum vegetarian. Mereka tidak menggunakan alkohol dalam penyediaan makanan tetapi dinasihatkan supaya anda makan mengikut budi bicara anda sendiri.
Alamat: G06–07, Block 01, Tai Kwun, 10 Hollywood Road, Central, Hong Kong Island
Nombor telefon: +852 2276 5777
Arah Lokasi: Turun di Stesen Pusat MTR dan jalan menuju ke arah Pintu Keluar D2. Kemudian, berjalan kaki selama 7 minit ke LockCha Tea House.
Walaupun pilihan vegetarian sangat lazat, jalan-jalan cari makan di Hong Kong diteruskan lagi dengan panduan utama untuk makanan halal yang lazat di Hong Kong (berhampiran lokasi tarikan utama!). Apa jua cita rasa anda, ia pastinya menjanjikan sebuah pengembaraan makanan yang tidak dapat dilupakan!
Kandungan disediakan oleh Have Halal Will Travel. Maklumat dalam artikel ini tertakluk kepada perubahan tanpa notis awal. Sila hubungi pembekal produk atau perkhidmatan yang berkaitan untuk sebarang pertanyaan.
Lembaga Pelancongan Hong Kong menafikan sebarang liabiliti terhadap kualiti atau kesesuaian untuk tujuan produk dan perkhidmatan pihak ketiga; dan tidak menjadi wakil atau menjamin ketepatan, kecukupan atau kebolehpercayaan sebarang maklumat yang terkandung di sini.