Speak now

Speak now


I’m Sorry. I didn’t get that.

I’m Sorry. I didn’t get that.

7 tempat menarik di Hong Kong untuk mengapresiasi bakat seni tempatan

  • Ditulis oleh Have Halal Will Travel
Art Lane

Hong Kong terkenal dengan pelbagai perkara — latar langit yang memukau, tarikan yang menarik, kawasan membeli-belah yang menakjubkan, makanan Cina yang halal dan banyak lagi. Namun, Hong Kong juga merupakan syurga untuk penggiat dan penggemar seni.

Daripada seni jalanan yang berwarna-warni sehinggalah ruang dan pameran yang diberi nafas baharu, Hong Kong menawarkan seni untuk semua orang, walaupun anda bukan peminat seni. Berikut ialah lapan tempat untuk anda terokai. Terdapat banyak pilihan makanan halal yang berdekatan juga.

Sai Ying Pun

1. Artlane (Seni Jalanan)

Pernah diabaikan dan tidak dipedulikan oleh orang ramai, daerah Sai Ying Pun yang kian meriah ini kini terkenal dengan mural jalanannya yang sesuai untuk gambar Instagram. Sebaik sahaja anda melangkah keluar dari Stesen MTR Sai Ying Pun, anda akan dapat melihat bangunan kediaman lama yang telah dihidupkan semula dengan percikan warna yang menarik perhatian, semuanya disebabkan visi artis-artis antarabangsa tempatan dan Hong Kong.

Art Lane

Mural ini diilhamkan oleh seni jalanan di bandar-bandar utama seperti New York dan London, dan dilukis dengan inspirasi daripada seni dan muzik Daerah SoHo.

Sebahagian besar karya seni ini boleh didapati di Lorong Ki Ling dan Jalan Chung Ching. Dengan warna-warna yang terang dan watak-watak yang menarik, anda pasti tidak akan terlepas pandang, terutamanya tangga ikonik ini (gambar di atas). Pastikan anda meluangkan masa anda secukupnya untuk menerokai bukan sahaja ruang hadapan kedai-kedai di kawasan ini, tetapi juga lorong di belakangnya!

 

Arah Lokasi: Ambil Laluan Pulau MTR ke Stesen Sai Ying Pun dan keluar dari Pintu Keluar B3.

Central

2. PMQ, Old Town Central

Pernah menjadi asrama pegawai polis, PMQ (singkatan untuk Police Married Quarters) kini merupakan ruang yang diperbaharui, tempat seni bertemu pusat membeli-belah dan tempat makan.

PMQ

Di sini, anda boleh mendapatkan pengalaman membeli-belah semua dalam satu — temui cenderahati unik, butik pereka tempatan dan terokai galeri seni serta studio reka bentuk. Hampir 100 syarikat reka bentuk dan perusahaan kreatif lain berpusat di PMQ. Apa yang menarik tentang PMQ ialah tangga dan sudutnya dihiasi dengan karya seni, jadi anda boleh merakam foto yang sesuai untuk Instagram anda.

PMQ juga kerap mengadakan pertunjukan dan pameran seni seperti Draw HK, yang mempamerkan karya ratusan pelajar tempatan. Selain itu, bagi mereka yang berminat untuk mempelajari seni, terdapat peluang untuk anda mendaftarkan diri dan menyertai bengkel. Sentiasa ada sesuatu yang menarik sedang berlaku di PMQ!

3. Tai Kwun

Di tengah-tengah pencakar langit di Central District, Tai Kwun menonjolkan sebagai serpihan masa lalu Hong Kong dengan seni bina yang dibaik pulih. Jika PMQ pernah menjadi asrama polis, Tai Kwun pula ialah Balai Polis Central, termasuk Penjara Victoria yang ikonik.

Fakta menarik: Bekas pemimpin komunis Vietnam, Ho Chi Minh pernah ditahan di Penjara Victoria.

Tai Kwun
Tai Kwun

Walaupun pernah menjadi ruang yang terhad, anda kini bebas untuk meneroka semua bangunan Tai Kwun untuk mengagumi seni binanya atau mendaftar untuk lawatan interaktif dan menghadiri pameran untuk mengetahui lebih lanjut tentang sejarah Hong Kong.

Tai Kwun juga merupakan hab penting untuk persembahan dan seni. Pergi ke Tai Kwun Contemporary, yang mengadakan kira-kira enam hingga lapan pameran setahun. Penggemar seni juga boleh menonton filem atau menonton persembahan teater, muzik atau tarian di sini — di bahagian dalam dan luar bangunan.

Ebeneezer’s Kebabs & Pizzeria

Pilihan makanan halal:

Ebeneezer’s Kebabs & Pizzeria

Selepas menghayati seni di PMQ dan Tai Kwun, pergi ke Ebeneezer’s untuk mengisi perut anda. Rangkaian restoran halal ini mempunyai pengkhususan dalam masakan Timur Tengah dan India. Nikmati kebab doner, nasi biryani atau kari yang lazat, yang pasti akan memuaskan hati anda!

 

Status halal: diperakui halal
Alamat: G/F, 24 Hollywood Road, Central, Hong Kong Island
Arah Lokasi: Ebeneezer's terletak di luar Tai Kwun dan 5 minit berjalan kaki dari PMQ.

Tsim Sha Tsui

4. Avenue of Stars

Peminat filem dan TV pasti akan menyukai Avenue of Stars yang baru diubah suai!

Avenue of Stars

Menampilkan cap tangan lebih seratus selebriti ala Hollywood Walk of Fame yang terkenal, Avenue of Stars memberi penghormatan kepada industri hiburan Hong Kong. Cap tangan ini boleh ditemui pada susur tangan kayu yang menghadap ke Victoria Harbour dan latar langit Hong Kong yang menakjubkan.

Bruce Lee

Selain cap tangan, pastikan anda melihat patung ikonik bintang Hong Kong, Bruce Lee dan Anita Mui. Anda bukan sahaja boleh bergambar dengan patung ini, malah anda juga boleh berinteraksi dengan bintang ini menggunakan teknologi Realiti Terimbuh (AR).

Sebagai sebahagian daripada ciri baharu Avenue of Stars, anda juga akan menemukan gerai dan pedati mudah alih yang menjual pelbagai jenis cenderahati tempatan yang kreatif, termasuk daripada jenama popular seperti Mei Lok Store dan juga perhiasan kecil Avenue of Stars edisi terhad serta cenderamata eksklusif Bruce Lee.

5. Xiqu Centre

Jika anda berminat untuk menyelami opera Kantonis dan teater tradisional Cina, maka Xiqu Centre sesuai untuk anda.

Ruang seni persembahan ini mempunyai reka bentuk yang diilhamkan oleh tanglung tradisional Cina, tetapi dengan sentuhan moden. Ciri yang benar-benar menarik ialah pintu masuknya dibuat menyerupai tirai yang terpisah; dan pastinya sesuai untuk anda bergambar di sini.

Ciri yang paling menarik di Xiqu Centre ialah Tea House Theatre kerana ia akan membawa anda kembali ke masa lalu untuk mencipta suasana kedai teh awal abad ke-20 di Hong Kong. Semasa menonton persembahan di sini, penonton juga akan dijamu dengan teh dan dim sum!

Petua: Walaupun anda tidak menonton persembahan, anda juga boleh mengetahui lebih lanjut tentang teater tradisional Cina dengan menghadiri tayangan filem, bengkel, ceramah, pameran dan lawatan berpandu di Xiqu Centre.

Tsuen Wan

6. The Mills

Kilang kapas tahun 1960-an ini kini telah diperbaharui menjadi ruang warisan dan seni. Salah satu ruang kreatif terbaru Hong Kong, The Mills kini merupakan hab reka bentuk dengan pelbagai kedai pereka bentuk tempatan, kafe dan sudut yang sesuai untuk Instagram.

The Mills

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang sejarah industri tekstil Hong Kong, anda boleh mengunjungi Centre for Heritage, Arts and Textile (CHAT). Terdapat pameran, ceramah seniman dan juga bengkel untuk anda mendalami dunia tekstil.

Tetapi jika anda berada di sini untuk menikmati suasana nostalgia semata-mata, anda pasti akan gembira kerana ruang yang telah diubah suai ini telah mengekalkan beberapa seni bina kilang kapas asal. Berjalan-jalan di perkarangan The Mills pasti akan membawa anda kembali ke masa lalu! Pastikan anda keluar untuk mengambil gambar dengan mural indah yang menggambarkan kehidupan di kilang kapas.

The Mills

Yau Ma Tei, Mong Kok and Sham Shui Po

7. Seni Pengatup Pintu Kedai oleh Urban Canvas

Kawasan membeli-belah terkenal iaitu Yau Ma Tei, Mong Kok dan Sham Shui Po telah wujud selama beberapa dekad dan pada pandangan pertama, anda akan merasakan tidak banyak seni di sini. Tetapi disebabkan projek seni komuniti yang dikenali sebagai HK Urban Canvas, beberapa pengatup pintu kedai di daerah ini telah diubah menjadi karya seni yang berwarna-warni.

Shutter Art by Urban Canvas

Apa yang unik tentang seni grafiti ini ialah ia menggambarkan kisah pemilik kedai dan perjalanan kerjaya mereka. Cara seniman tersebut menggambarkan pemilik kedai benar-benar menarik untuk dilihat!

Projek ini membuktikan bahawa seni bukan sahaja untuk peminat seni. Jalan-jalan ini sering dikunjungi setiap hari oleh penduduk tempatan dan sangat menarik untuk melihat gaya hidup seharian dipantulkan oleh karya-karya seni ini. Pengatup pintu kedai ini juga merupakan ruang bergambar yang sempurna!

Petua: Untuk membantu anda menelusuri jalan melalui karya seni pengatup pintu kedai ini, pastikan anda memuat turun aplikasi HK Urban Canvas. Dengan itu, anda bukan sahaja dapat melihat karya seni dengan lebih mudah malah anda juga akan dapat mengetahui lebih lanjut tentang kisah di sebalik karya seni tersebut.


Kandungan disediakan oleh Have Halal Will Travel. Maklumat dalam artikel ini tertakluk kepada perubahan tanpa notis awal. Sila hubungi pembekal produk atau perkhidmatan yang berkaitan untuk sebarang pertanyaan.

Lembaga Pelancongan Hong Kong menafikan sebarang liabiliti terhadap kualiti atau kesesuaian untuk tujuan produk dan perkhidmatan pihak ketiga; dan tidak menjadi wakil atau menjamin ketepatan, kecukupan atau kebolehpercayaan sebarang maklumat yang terkandung di sini.


You may also be interested in…

{{post.type}}

{{post.title}}

{{post.date}}

We use cookies to ensure that we give you the best experience on our website, to understand your interests and provide personalized content to you as further set out in our Cookie Policy here. If you accept the use of cookies on our website, please indicate your acceptance by clicking the "I accept" button. You may manage your cookies settings at any time.